Pelakon Izreen Azminda nafi sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki bergelar Datuk yang terlibat dengan perniagaannya seperti dinyatakan ruangan gosip, sebuah akhbar semalam.

Izreen Azminda atau Izreen Azminda Aznam, 31, yang baru sahaja mendapat tahu mengenai berita tersebut memberitahu ia kedengaran agak kelakar apabila membaca mengenainya dengan seorang lelaki itu.

"Saya terkejut juga pada mulanya tetapi bila fikirkan kembali ia sangat kelakar kerana gosip itu sama sekali tidak benar.

"Saya sendiri tak tahu bagaimana gosip itu boleh keluar sedangkan saya kini tidak menjalinkan hubungan cinta pun dengan mana-mana lelaki.

"Bagaimana pula dalam gosip itu memberitahu saya menjalinkan hubungan cinta dengan share partner dalam perniagaan perfume saya, sedangkan share partner saya itu tidak begelar Datuk malah seorang perempuan.

"Saya tidak cepat melatah dengan gosip-gosip sebegini kerana sudah biasa dan pernah laluinya sebelum ini," katanya kepada Astro Gempak ketika dihubungi.

Ruangan gosip itu turut menyatakan Izreen bakal dipinang oleh lelaki tersebut dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Izreen memberitahu dia kini tidak menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki malah sedang memberi fokus sepenuhnya kepada perniagaan wangiannya iaitu Lurve Me by Izreen Azminda.

"Terus-terang saya masih lagi sendiri dan belum menjalinkan hubungan serius dengan mana-mana lelaki.

"Bukan tidak mahu bercinta tetapi saya tidak tergesa-gesa untuk mencari teman hidup.

"Lagipun bukan mudah untuk mencari lelaki yang boleh menerima anak saya seperti anaknya juga.

"Justeru saya kini memberi fokus lebih pada perniagaan wangian saya," katanya lagi.

Hasil perkahwinan Izreen terdahulu bersama Muhamad Riza Baharuddin, dia dikurniakan seorang cahaya mata, Adrian Umar yang kini berusia tiga tahun.

Teks oleh: Syafiqah Jalal