Naib Juara Akademi Fantasia 2015, Syamel enggan mengulas lanjut mengenai kontroversi melibatkan lagu Hidup Dalam Mati yang didakwa diciplak dari melodi asal lagu ciptaan Ayai Ilusi berjudul Ku Kejar Bayangmu.

Syamel atau Syameel Aqmal Mohd. Fodzly, 24, berkata, kontroversi tersebut mengajarnya supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Isu ini menjadi pengajaran paling bermakna buat saya dan ia tidak akan menghentikan langkah saya sebagai anak seni.

“Saya tidak akan berputus asa dan akan terus mencipta dan menulis lirik kerana perjalanan saya sebagai anak seni masih jauh,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Tambah Syamel lagi dia tidak mahu lagi isu tersebut dipanjangkan serta memohon maaf kerana mengecewakan harapan peminatnya yang mahu melihat lagu Hidup Dalam Mati bertanding dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik 31.

“Saya mohon maaf kepada semua kerana kerana tidak dapat membawa lagu tersebut bertanding di Muzik-Muzik dan merebut tempat ke AJL31.

“Saya reda dan ini bukan rezeki saya. Insyaallah, saya akan pastikan single terbaru saya Lebih Sempurna ke AJL tahun hadapan,” katanya penuh semangat.

Dalam pada itu Syamel turut menafikan mempunyai masalah dengan penyanyi Ayai, selepas isu tersebut berlaku.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan sesiapa pun. Saya seorang yang profesional bekerja dan sangat menghormati Ayai sebagai penyanyi senior.

“Saya tidak mahu komen lagi kerana semuanya telah selesai selepas lagu tersebut ditarik penyertaannya daripada Separuh Akhir Muzik Muzik,” ujarnya positif.