Pelakon baru Afifah Nasir yang juga adik kepada Anzalna, mengakui sudah mempunyai teman istimewa dan tidak kisah status dirinya didedahkan.

“Saya lebih suka bersikap terbuka dan kalau ada yang tanya mengenai status, saya tidak akan sorok.

“Kerana saya rasa tidak ada apa yang perlu disembunyikan sebab itu perkara benar melainkan ada motif lain.

“Daripada buat orang tertanya-tanya dan timbulkan fitnah mengenai saya, lebih baik saya bercakap perkara yang betul, lebih senang,” katanya ketika ditemui dimajlis pelancaran drama bersiri Pengantinku Jatuh Dari Langit bertempat di Restoran Hadramawt, Bukit Bintang pada Khamis.

Bagaimanapun Afifah berkata, dia akan hanya akan membuka cerita mengenai kisah percintaannya sekiranya ditanya.

“Tapi tidaklah sampai saya nak jaja kisah cinta, bagi saya kita perlu bersederhana dalam perhubungan.

“Saya tidak akan bercerita mengenai kisah peribadi saya melainkan kalau ditanya dan saya akan jawab dengan jujur.

“Tapi kalau saya sendiri yang nak buka cerita mengenai kisah cinta, saya tak berani sebab takut. Bukan saya minta tapi jodoh itu semua ketentuan tuhan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kisah cintanya, Afifah atau nama sebenarnya Nur Afifah Md Nasir, 23, bersyukur kerana teman lelakinya memahami tuntutan kerjayanya sebagai seorang pelakon.

“Kami baru kenal dua tahun dan dia bukahlah seorang yang kaki kontrol dan perkara itu membuatkan saya rasa selesa.

“Dia juga tidak meletakkan sebarang syarat dan memahami kerjaya saya sebagai pelakon.

“Cuma baru-baru ini saja ada gosip yang mengatakan saya bercinta dengan Hafrez disebabkan kami berdua merupakan pelakon utama drama Pengantinku Jatuh Dari Langit.

“Saya jelaskan pada dia ini adalah antara perkara yang akan dihadapi oleh setiap pelakon dan tidak boleh dielakkan.

“Setakat ini dia okay tapi tidak tahulah pula bagaimana penerimaannya di masa akan datang,” ujarnya bergurau.

Dalam perkembangan terbaru, Afifah memegang watak utama dalam drama Pengantinku Jatuh Dari Langit.

Drama 30 episod arahan Idora Abdul Rahman itu turut menampilkan Hafreez Adam, Faye Kusairi, Azhar Sulaiman, Fahad Iman, Kismah Johar dan Azam Pitt.

Pengantinku Jatuh Dari Langit bakal bersiaran pada 30 November ini setiap Rabu dan Khamis, jam 9.00 malam di HyppSensasi (HyppTV 116) dan HyppTV Everywhere (aplikasi mobil HyppTV).

Teks oleh: Mya Amri