Pelakon Izara Aishah mendedahkan kulit wajahnya menjadi rosak selepas menggunakan solekan terlalu lama ketika penggambaran drama bersiri Jodoh-Jodoh Annisa serta mini siri Ombak Rindu yang baru sahaja selesai.

Justeru, Izara kini dinasihatkan oleh doktor untuk berehat daripada menjalani penggambaran serta mengenakan solekan yang lama.

“Sebenarnya saya menjalani penggambaran tanpa henti dari drama bersiri Jodoh-Jodoh Annisa yang mengambil masa setahun kemudian terus ke set Ombak Rindu.

“Oleh sebab itu, kulit wajah saya rosak kerana solekan yang saya gunakan sepanjang penggambaran itu terlalu lama hingga ia difahamkan telah meresap ke dalam kulit.

“Jadi selepas berjumpa dengan doktor pakar kulit, dia nasihatkan untuk saya berehat seketika,” katanya kepada HLive.

Tambah Izara lagi, kulitnya menjadi lebih teruk selepas menjalani penggambaran di persekitaran yang tidak bersih.

“Semasa menjalani penggambaran Jodoh-Jodoh Annisa kulit saya menjadi teruk lebih-lebih lagi apabila terpaksa shooting di sebuah kilang yang penuh dengan habuk.

“Selepas itu, di set Ombak Rindu pula saya perlu menyelam di dalam sungai dan tidak lama selepas itu kulit muka saya naik penuh dengan biji-biji,” ceritanya.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).