Pengacara dan pelawak Jihan Muse tampil menjelaskan mengenai sebuah iklan yang sedang ditayang di kaca televisyen.

Isu tersebut timbul selepas terdapat segelintir netizen mempertikaikan penampilan Jihan yang tidak bertudung dalam iklan terbabit.

Menurut Jihan, penggambaran iklan tersebut dijalankan ketika sedang hamil anak lelakinya, Ungku Arsalan Haq.

"Iklan myfreeview tu shoot time mengandungkan Arsalan tiga bulan.

"Tengah mabuk teruk time tu. Shoot one take baring one take shoot one take muntah one take," tulisnya.

Penjelasan itu dibuat menerusi akaun Twitter miliknya semalam.

Pemilik nama penuh Nur Jihan Muse ini turut menyatakan dia tidak tahu kenapa iklan tersebut baru dikeluarkan sekarang.

"Tapi taktaulah kenapa baru sekarang keluarnya. Jawapan untuk soalan 'dia ni bukan dah pakai tudung ke?" tulisnya lagi.
Jihan mula tampil dengan imej berhijab sejak Februari lalu.

Dalam perkembangan lain, Jihan bakal mengacarakan program realiti hiburan Gegar Vaganza musim keenam (GV6) bersama pelawak Nabil Ahmad.

GV6 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 13 Oktober ini dan disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Program realiti popular itu juga akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104), Ria HD (123) dan Astro GO setiap Ahad jam 9 malam.