Pelawak dan pengacara popular, Nabil Ahmad menganggap sesetengah gurauan kecil dalam program televisyen yang bersifat 'body shaming' mampu menaikkan jumlah (rating) tontonan.

Menurut Nabil, gurauan berbentuk 'body shaming' tidak dikritik hebat ketika zaman awal kemunculannya dalam industri hiburan.

"Pada zaman awal kemunculan saya dalam industri hiburan dahulu, gurauan body shaming dalam program TV tidaklah dikritik sehebat sekarang.

"Bagi saya, isu seperti ini mampu menaikkan rating tontonan sesebuah program, kalau semua yang dituturkan itu terlalu biasa, penonton pun akan berasa bosan.

"Kami sesama artis pun faham antara satu sama lain, tak akan lah sesama artis pun dah tak boleh gurau?" selorohnya.

Nabil berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran LUPK,LUPKTV dan single terbarunya bertajuk LUPK di Vaporboy, Kajang pada Isnin.

Dalam pada itu, Nabil sendiri akui pernah diejek tentang saiz badan dan bentuk telinganya, namun dia menerima perkara itu secara positif.

"Saya sendiri pernah diejek kurus dan telinga capang, saya terima dengan positif, penonton ketika itu pun tidaklah terlalu mengkritik gurauan berbentuk body shaming," tambahnya.

Sedikit info mengenai Nabil, selebriti kelahiran Negeri Sembilan ini mulai aktif di industri hiburan tempatan pada tahun 2008 selepas menjuarai program Raja Lawak dan popularitinya masih bertahan sehingga kini.