Universal Music Group telah mengorak langkah dalam memulakan era baru muzik hip hop dan rap dengan sebuah pelancaran pada Rabu lalu di Canvas, Singapura bersempena dengan pengumuman pengembangan label terbaru Def Jam South- East Asia di Music Matters pada 17 September.

Antara paparan menarik malam itu termasuklah persembahan solo tujuh artis rakaman terbaru mereka iaitu Joe Flizzow (Malaysia), DABOYWAY (Thailand), Yung Raja (Singapore), Fariz Jabba (Singapore), Alif (Singapore), A.Nayaka (Indonesia) dan Young Bong (Thailand).

Mereka sempat berkongsi kehebatan persembahan di depan penonton terpilih yang terdiri daripada kalangan pelopor budaya urban dan tokoh terpenting industri sebelum ditutup dengan persembahan DABOYWAY dengan lagu terbaru berjudul berjudul Gangsh!t.

Acara itu diteruskan hingga lewat malam dengan dendangan muzik oleh DJ CZA, DJ Bomber Selecta serta DJAYBUDDAH yang memberikan susunan muzik hebat untuk tarian penonton sepanjang malam.

Sedikit info mengenai Def Jam, ia ditubuhkan pada 1984, bermula sebagai label indi yang diinspirasikan dari budaya jalanan kota New York serta kelahiran bunyi hip-hop.

Def Jam pernah mewakili nama-nama besar dunia muzik selama 35 tahun seperti LL Cool J, Slick Rick, The Beastie Boys dan Public Enemy.

Dua dekad kemudian, Def Jam memperkukuhkan kedudukan dengan bintang tersohor seperti Jay-Z, DMX, Ja Rule, Method Man & Redman, Ludacris, Rihanna, Jeezy, serta Kanye West.

Kini dalam dekad keempat, muzik dan gaya hidup Def Jam telah berkembang menjadi sebuah jenama global, sinonim dengan kreativiti, kualiti dan keaslian. Ia merangkumi aneka bakat hebat seperti Justin Bieber, Alessia Cara, Logic, Pusha T, Jadakiss, Vince Staples dan ramai lagi.

Kini di bawah pimpinan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Paul Rosenberg, Def Jam telah membuktikan kesungguhan dan komitmen terhadap budaya hip-hop, dan memperluaskan jenama globalnya untuk menjadi salah satu label terunggul dengan pengikut paling ramai di media sosial.