Pelakon Saharul Ridzwan, akui pernah dihalau gara-gara muka penuh jerawat ketika pergi menjalani uji bakat untuk pencarian model di sebuah agensi.

Saharul berkata dia kecewa kerana terpaksa pulang tanpa diberi peluang untuk menjalani sebarang uji bakat.

"Selepas tamat sekolah, saya pernah mencuba untuk pergi casting ke sebuat talent agency ini.

"Niat di hati ketika itu hanya ingin mencuba tetapi dihalau dengan kata-kata yang agak kasar tentang penampilan saya.

"Saya agak kecewa juga ketika itu. Tapi saya tak nafikan badan saya waktu itu kurus kering dan muka pula penuh berjerawat," katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui.

Namun, pelakon itu memberitahu apa yang berlaku telah meningkatkan kesedaran diri tentang penjagaan diri dan penampilan.

"Meskipun ketika itu saya agak down tetapi saya pantang dicabar. Ia telah menyedarkan saya tentang pentingnya penjagaan diri dan penampilan.

"Saya mencuba pelbagai produk kecantikan sehinggalah saya jumpa dengan pencuci muka yang sesuai dengan kulit muka saya yang agak berminyak.

"Sehingga sekarang saya memang menjaga kulit muka saya selain menggunakan pencuci muka saya akan menggunakan toner setiap kali selepas cuci untuk kurangkan berminyak," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Saharul baru sahaja tamat penggamaran telemovie bersama produksi JS Pictures bersama pelakon-pelakon lain seperti Zara Zya, Janna Nick, Idris Khan dan Dayana Roza.

Teks oleh: Syafiqah Jalal