Vokalis kumpulan OAG, Radhi akui tidak serik untuk mendirikan rumah tangga lagi selepas tiga kali gagal dalam perkahwinan.

Namun, Radhi berkata, jika dia ditakdirkan berkahwin sekali lagi dia berharap dijodohkan bersama seorang wanita berpurdah.

“Sebenarnya untuk jatuh cinta lagi bukan suatu perkara yang mudah. Namun jika ditakdirkan saya berkahwin sekali lagi kalau boleh saya mahu yang lebih baik dan kuat pegangan agama serta berpurdah.

“Saya tahu bukan mudah nak cari wanita berpurdah pada masa kini, tapi kalau boleh saya memang nak wanita berpurdah sebab saya tak nak dedahkan dia kepada umum.

“Tapi apa-apa pun yang penting, saya harap jika saya berkahwin lagi, ia akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Saya tak nak perkara sama berulang lagi,” katanya kepada Gempak.

Radhi ditemui pada majlis sidang media Malam Amal Pengasih yang berlangsung di Persatuan Pengasih, Kuala Lumpur semalam.

Radhi bercerai dengan isterinya, Nur Syahira Ayu Zahiri pada 25 Mac lalu. Pasangan ini berkahwin pada 14 April 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3.

Terdahulu, Radhi pernah berkahwin dengan pelakon drama, Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdhi Muslim yang kini berusia 14 tahun.