Pelakon Zara Zya akui mahu mencari bakal suami dengan pendapatan yang kukuh supaya dapat menyara kehidupannya.


Zara Zya atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 31, berkata selain matang dia mahu teman hidup yang boleh memberi sokongan dari segala aspek.

"Kalau boleh saya mahukan seorang bakal suami yang mempunyai pemikiran yang matang dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

"Bagi saya bakal suami perlu ada kewangan yang kukuh untuk menyara saya kerana saya memang sesorang yang kuat bekerja dan mencari duit.

"Saya tak mahu bila sudah berkahwin nanti saya yang perlu menyara suami.

"Selain mempunyai kewangan yang kukuh, saya perlukan bakal suami yang boleh menyokong saya dari segala aspek seperti masa, semangat dan sebagainya," katanya kepada Astro Gempak.

Pun begitu, Zara memberitahu buat masa ini dia tidak memberi fokus sepenuhnya untuk mencari teman hidup sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada kerjayanya.

"Bukan saya tak mahu bercinta, tetapi jadual saya dari awal tahun hingga hujung tahun ini sudah penuh dengan aktiviti lakonan.

"Saya perlu bekerja kuat mengumpul duit untuk masa depan saya serta menunaikan hasrat untuk menyediakan sebuah rumah untuk ibu saya.

"Hajat untuk membina sebuah rumah untuk ibu dah lama tetapi ia bakal direalisasikan mulai awal tahun hadapan," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Zara baru sahaja tamat penggamaran telemovie bersama produksi JS Pictures bersama pelakon-pelakon lain seperti Saharul, Janna Nick, Idris Khan dan Dayana Roza.

Teks oleh: Syafiqah Jalal