Penyanyi senior terkenal, Shima mengakui dirinya kini memakai lampin pakai buang untuk memudahkan urusan seharian.

Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 50, mengalami masalah kesihatan seperti cakera tulang belakang tergelincir (slipped disc) serta lemah sistem pundi kencing.

"Saya mula memakainya semenjak dua tahun lalu kerana masalah kesihatan. Ia memudahkan urusan seharian saya. 24 jam saya memakai lampin.

"Saya juga mengambil beberapa jenis ubatan untuk mengekalkan kesihatan di tahap yang baik. Biarpun saya mempunyai masalah kesihatan, suami tetap berada di sisi.

"Suami sangat memahami. Saya sangat bersyukur dikurniakan dengan suami yang sangat baik dan membantu. Alhamdulillah," katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Teringin ini terkenang memori ketika mula memakai lampin sebelum menunaikan ibadah Umrah di Tanah Suci Makkah.

"Ketika itu, terbit rasa risau kerana saya mahu fokus dalam mengerjakan ibadah. Namun begitu, kuasa Allah sangat besar, biarpun saya memakai lampin, semuanya dipermudahkan oleh Tuhan.

"Semuanya berjalan lancar dan saya tidak mengalami situasi sulit untuk membuang air besar atau air kecil ketika sedang beribadah. Saya rasa sangat terharu dan bersyukur," katanya lagi.

Shima ditemui di sidang media Konsert Suara Emas Satu Kesan Abadi (Tribute to Allahyargham Saleem) di Panggung Asia, Gombak baru-baru ini.

BACA: Anjur Konsert Istimewa Kenang Arwah, Shima & Zaiton Sameon Bakal Nyanyikan Lagu Saleem

Shima bakal diundang untuk menyanyikan lagu hits Allahyarham Saleem bersama beberapa penyanyi lain.



Turut hadir di sidang media itu adalah penyanyi senior Zaiton Sameon dan isteri Allahyarham Saleem merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Salju Entertaiment, Juriah @ Julia Bachok.

Panggung Asia mampu memuatkan lebih 400 penonton dan harga tiket yang dikenakan bersempena konsert tersebut adalah RM150 seorang atau RM1,500 satu meja.

Untuk pertanyaan lanjut, tinggalkan mesej di aplikasi WhatsApp kepada Acit (010-5695178), Julia (014-3241977) atau ikuti laman Facebook Juriah Bugis (Balu Allahyarham Saleem) dan Panggung Asia Official.