Peminat panik apabila melihat anggota kumpulan K-Pop G-Friend, SinB pengsan tiba-tiba ketika menyampaikan lagu Mermaid.

Kejadian itu berlaku ketika G-Friend sedang mengadakan persembahan untuk sebuah acara disebuah univeristi bertempat di Jeonju semalam.

Menerusi perkongsian rakaman video seorang peminat di Youtube, sebelum kejadian berlaku SinB sememangnya nampak tidak selesa dengan keadaan dirinya.

Dia juga mula berpeluh dan menundukkan wajahnya sambil beberapa kali memegang bahagian kepalanya.

Bagaimanapun, ketika tiba gilirannya untuk menyanyi, SinB yang berdiri mula kelihatan tidak stabil dan terhuyung-hayang sebelum jatuh pengsan di atas pentas.

Kejadian tersebut menyebabkan persembahan mereka dihentikan serta merta manakala anggota G-Friend mula memeluk SinB sebelum dia dibawa ke belakang pentas.

Dalam pada itu, peminat mulai berang dengan agensi G-Friend, dan mendakwa Source Music tidak menjaga kebajikan artis mereka.

Lebih teruk lagi, agensi itu juga turut didakwa telah memaksa G-Friend yang dianggotai oleh Yuju, Eunha, SinB, Sowon, Yerin dan Umji kerja tanpa rehat memandangkan ini bukan pertama kali situasi buruk ini berlaku kepada mereka.

Sehingga kini, agensi mereka masih lagi belum memberikan sebarang keterangan mengenai kejadian tersebut.

Teks oleh: Mya Amri