Filem dokumentari M for Malaysia mendapat sambutan yang baik dari ramai pihak.

Biarpun bersaing dengan filem tempatan serta filem Hollywood lain, dokumentari itu berjaya menempatkan diri di tangga ke-8 carta Top 10 Movies @ GSC.

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, 'M for Malaysia' yang pada awalnya akan ditayangkan secara eksklusif bermula 12 sehingga 15 September di pawagam terpilih seluruh Malaysia akan diteruskan sehingga ke 18 September.

Fuhh, atas permintaan ramai, lokasi tayangan filem dokumentari @mformalaysia ditambah! Jom ramai-ramai selami kisah bersejarah negara kita gaiss! Ada yang menangis lepas tengok tak? Hihi M FOR MALAYSIA KINI DI PAWAGAM ! #IniCeritaKita #MforMalaysia #IniSejarahKita #AbleAndWilling

A post shared by Astro Shaw Sdn Bhd (@astroshaw) on


'M for Malaysia' merupakan sebuah dokumentari yang menceritakan mengenai titik tolak yang mengubah negara kita dan ia menampilkan dokumentasi mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang menyaksikan rakyat Malaysia memilih untuk tidak lagi bersama kerajaan yang telah memerintah selama 61 tahun.

Pastinya ramai yang tidak mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku menerusi sudut pandang Perdana Menteri, Tun Dr Mahatir Mohamad (Tun M) sepanjang kempen PRU 14.

Karya ini memberikan sesuatu yang berbeza dan belum pernah diketahui mengenai perjuangan Tun M dengan Pakatan Harapan.

Diarahkan oleh Dian Lee dan Ineza Roussille, dokumentari yang menampilkan Datin Paduka Marina Mahathir sebagai Penerbit Eksekutif dan pemenang Oscar, Ruby Yang selaku Penerbit Kreatif ini mengisahkan mengenai perjuangan Tun M dalam misi untuk menewaskan kerajaan yang memerintah Malaysia semenjak kemerdekaan selama 61 tahun.

Sebelum ini, 'M for Malaysia' pernah ditayangkan di CAAM Festival 2019 di San Francisco dan DocEdge Film Festival 2019 di New Zealand serta akan ditayangkan di Busan International Film Festival (BIFF) yang berlangsung pada Oktober ini.

Jangan lupa untuk saksikan dokumentari 'M for Malaysia' yang ditayangkan secara eksklusif bermula 12 sehingga 18 September di pawagam terpilih seluruh Malaysia.

Untuk lebih informasi, layari laman web rasmi 'M for Malaysia' di https://www.mformalaysia.com/.