Semalam, Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia, Siti Nurbaya menafikan masalah jerebu yang sedang melanda Malaysia ketika ini berpunca daripada kebakaran hutan republik berkenaan.

Tidak bersetuju dengan apa dikatakan menteri itu, Malaysia kemudian membidas kenyataan tersebut.

Menurut Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin, Indonesia tidak seharusnya menafikan realiti yang jerebu di Malaysia datang dari negara terbabit.

“Lihat data terkini Pusat Meteorologi ASEAN terdapat 474 tompok panas di Kalimantan dan 387 di Sumatera manakala Malaysia hanya tujuh.

“Dakwaannya Siti Nurbaya jerebu itu datang dari Sarawak pula sila tengok arah pergerakan angin. Macam mana logiknya ia berlaku,” katanya menerusi satu posting di Facebook rasminya.

Pada posting berkenaan, Yeo turut memuat naik gambar data Pusat Meteorologi ASEAN sebagai bukti hujahnya.

Anda boleh lihat posting tersebut di bawah.


Semalam menerusi Harian Metro, beberapa kawasan di Rompin, Pahang dan Johan Setia Klang, Selangor mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) sangat tidak sihat masing-masing 223 dan 201 setakat 6 petang hari ini.

Data keseluruhan menunjukkan kualiti udara di 17 kawasan turut tidak sihat.

Berdasarkan maklumat dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU tidak sihat tertinggi direkodkan di Nilai, Negeri Sembilan dan Putrajaya masing-masing 161.