Penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah, 60, sudah memilih nama untuk anak perempuannya yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.

Menurut Jamal, dia memilih Azura kerana nama itu begitu dekat dengan dirinya yang pernah membintangi filem berjudul Azura pada tahun 1984.

“Alhamdulillah, kandungan sudah masuk hampir lapan bulan dan isteri juga sihat.

“Nama anak sudah dipilih, selalu usap perut isteri sambil sebut nama anak, Azura... Azura...

“Saya memilih nama Azura Yamani, Azura kerana nama itu dah lekat dengan saya sejak dulu. Mana-mana saya pergi orang akan kaitkan saya dengan Azura, mungkin sebab filem itu sendiri.

“Manakala Yamani pula adalah disebabkan keturunan. Sebab itu nama anak saya semuanya ada Yamani dan saya ingin kekalkannya,” ujarnya

Jamal ditemui selepas majlis pelancaran singlr terbarunya bersama Wany Hasrita, Belenggu Rindu bertempat di restoran Suka Sucre pada Rabu.

Terdahulu, Jamal berkahwin dengan Zai Izzati, 25, pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak.

Jamal sebelum ini pernah berkahwin sebanyak tiga kali bersama Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad tetapi berakhir dengan perceraian.

Hasil perkahwinan terdahulu, Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 12.