Penyanyi dan pelakon Erra Fazira masih belum memberikan kata putus berhubung lamaran Datuk Awie untuk membuat persembahan bersamanya sempena konsert Romantika tahun hadapan.

Kata Erra, mereka masih belum duduk berbincang secara terperinci mengenai lamaran tersebut namun tiada masalah untuk mereka kembali bergabung seandainya situasi mengizinkan.

"Setakat ini baru ada bisikan-bisikan dan belum lagi ada pengesahan. Baru proses awal, lagi pun konsert itu bakal berlangsung tahun hadapan.

"Insya-Allah kalau kena dengan tarikh, hantaran dan segala situasi, kenapa tidak boleh.

"Saya belum tahu pucuk pangkalnya lagi, cuma apa yang saya katakan kepadanya, saya berminat untuk mendengar dengan lebih lanjut," katanya memetik laporan HLive.

Sebelum ini, penyanyi legenda rock Awie menyatakan hasrat untuk mengajak primadona filem Melayu itu untuk bersama-sama menyertai konsert Romantika yang dijangka berlangsung tahun hadapan.

Konsert itu bakal mengimbau kenangan zaman muda Awie selain meraikan usia 25 tahun kerjaya solonya.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).