Pelawak Fad Bocey mengaku seronok dengan kerjaya terbarunya sebagai penyampai radio yang menjadi impiannya sejak sekian lama.

Fad atau nama sebenarnya Muhamad Fazlie Mohd Nizam, 25, berkata, dia bercita-cita untuk menjadi seorang penyampai radio sejak sekolah lagi.

“Saya memang dah lama bercita-cita nak jadi penyampai radio tetapi rezeki saya di pentas lawak dahulu. Alhamdulillah, impian saya tercapai.

“Ramai juga yang cakap saya terima tawaran jadi penyampai radio kerana rakan-rakan pelawak lain yang sudah lama jadi DJ dan mengikut trend.

“Sebenarnya tidak, kerana selain impian saya juga ingin mencuba sesuatu yang baru dan mengembangkan bakat saya dalam bidang lain,” katanya yang baru memulakan tugasnya di konti radio Era bersama Dyna untuk segmen Petang Era bermula Isnin.

Menurut Fad, tidak sukar baginya mencari keserasian bersama Dyna di konti kerana pernah bekerja sama sebelum ini.

“Tidak sukar untuk mencari ‘chemistry’ bersama Dyna kerana kami pernah bekerjasama dan dia pula memang seorang yang menyeronokkan dan tidak lokek berkongsi ilmu di konti.

“Selain Dyna yang selalu memberi tunjuk ajar, saya bersyukur kerana isteri serta sahabat saya Achey dan Abam juga sentiasa memberi ‘support’,” ujarnya yang akan berada di konti radio bermula 4 petang hingga 8 malam, setiap hari (Isnin - Jumaat).

Dalam perkembangan lain, Fad kian selesa mengendalikan program Lawak Solo sebagai pengacara di belakang tabir bersama Jamal Tetsu dan Zukie.

“Saya mula jatuh cinta dengan bidang pengacaraan dan selepas ini kalau ada yang nak panggil saya mengacara, dah boleh dah,” selorohnya.

Lawak Solo bersiaran setiap hari Jumaat secara langsung dari FINAS bermula pukul 10 malam dan disiarkan secara ekslusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (Saluran 134).

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin