Belum reda isu aplikasi Face App yang dikatakan 'mencuri' data pengguna beberapa bulan lalu, muncul pula satu aplikasi penuh kontroversi dikenali sebagai ZAO.

Aplikasi ini dilihat jauh lebih canggih hingga membuatkan Face App nampak seperti ketinggalan.

Untuk pengetahuan aplikasi ZAO menggunakan teknologi 'deepfake' dengan bantuan Atificial Intelligence (AI) yang mampu menggantikan wajah individu persis atau sesiapa sahaja dalam sebuah klip video.

Hasilnya? Seperti imej janaan komputer (CGI) dalam filem yang sangat realistik!

Anda boleh lihat contoh video yang dihasilkan menggunakan aplikasi ini di bawah:
Difahamkan, ZAO menjadi salah satu aplikasi yang paling banyak dimuat turun dan digunakan di China ketika ini.

Namun dalam pada ramai yang mencuba aplikasi tersebut, ramai juga yang meluahkan kebimbangan mereka terhadap kecanggihan ZAO.

Seperti yang dinyatakan tadi, ZAO menggunakan teknologi 'deepfake' yang mampu mengubah wajah seseorang kepada seorang individu yang lain.

Jika disalah guna, pastinya video tersebut mampu mencetuskan salah faham dan fitnah.

Sehingga kini aplikasi tersebut hanya boleh dimuat turut di App Store di China dan belum lagi memasuki platform Google Play Store mahupun Apple App Store secara global.