Teman rapat penyanyi Rap Zynakal yang dikenali sebagai Syazwan Zanini, mengesahkan sahabatnya itu bertindak mencekik pekerja stesen minyak kerana gangguan mental.

Syazwan berkata, Zynakal ditahan di wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu lalu selepas disahkan menghidap Bipolar Mania dan perlu menjalani beberapa siri rawatan pemulihan.

“Kami pujuk Zynakal untuk ke hospital selepas selesai kes mahkamah dia pada Jumaat lalu. Dia menolak pada mulanya.

“Tapi akhirnya dia akur dan keputusan doktor mengesahkan dia mengalami salah satu masalah gangguan mental dan perlu dirawat segera,” katanya.

Tambah Syazwan lagi, emosi Zynakal masih belum stabil dan kelakuannya juga tidak boleh dijangka.

Syazwan turut menafikan dakwaan Zynakal dibawah pengaruh bahan terlarang kerana, hasil pemeriksaan air kencing komposer muda tersebut negatif .

“Dia belum stabil…kadang-kadang nampak okay tapi dia boleh juga berubah jadi tak okay tiba-tiba.

Watak dia pelbagai dan kita tak boleh nak faham apa yang dia nak sampaikan ketika berbual. Yang mengenali Zynakal mesti tahu itu bukan diri dia,” katanya.

Zynakal di tahan polis pada Rabu lalu selepas mencekik seorang pekerja stesen minyak di Ampang, Kuala Lumpur.

Dia kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Ampang dan dikenakan denda sebanyak RM2,800 atas kesalahan mencederakan seorang pekerja Bangladesh dan menghalang tugas polis.

Sumber: mStar Online