Pengasas Red Communication Lina Tan, 47, mengakui telah menapis aksi berahi dalam drama seram terbaru Gantung yang diadaptasi daripada novel popular karya Nadia Khan.

Lina mengambil keputusan itu untuk menjaga sensitiviti masyarakat agar tidak dikecam di media sosial oleh ‘keyboard warrior.’

“Kalau ikut novel memang terdapat plot-plot aksi berahi tapi saya dan berbincang dengan pengarah Shamyl Othman agar adegan itu kita tapis dan diberi plot yang lain.

“Tapi Gantung sebenarnya lebih kepada drama seram bukan berahi.

“Ia mengisahkan tentang empat orang pelajar lelaki yang nakal di sebuah kolej dan gemar bertukar-tukar pasangan wanita.

“Kalau nak tahu intipati drama ini, kena tunggulah di siarkan di Astro tidak lama lagi.

“Apa yang saya boleh komen, Gantung adalah drama seram yang berbeza dengan drama-drama lain,” kata Lina ketika ditemui media di Majlis Pelancaran Saluran Baru Boo Astro di ibu negara baru-baru ini.

Mengenai barisan pelakon, Lina telah mengunakan khidmat pelakon dari dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

Barisan pelakon yang membintangi drama lapan episod itu ialah, Randy Pagalila, Hafreez Adam serta pelakon baru yang lain seperti Ikmal Amry, Gita Sucia, Brandon Salim dan Mentari De Marelle.

“Untuk mencari pelakon Indonesia saya telah menjalani sesi uji bakat di sana dan sambutannya amat luar biasa.

“Mereka yang hadir begitu komited untuk membintangi drama ini dan akhirnya saya berjaya menjumpai pelakon yang sesuai, saya harap drama ini menjadi kegemaran nanti,” katanya.

Antara drama terbitan Red Communications yang popular ialah Oh My English, Siri Gol dan Gincu dan Impian Ilyana.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir