Penyanyi Sufian Suhaimi bakal melancarkan sebuah buku puisi yang diberi judul Senanduka Sufian Suhaimi tidak lama lagi.

Teruja dengan projek terbaharunya itu, kata Sufian sebanyak 70 buah puisi sudah disiapkannya untuk dimuatkan dalam buku tersebut.

"Buku puisi ini mengisahkan kehidupan saya dan perspektif mengenai pelbagai peristiwa besar yang berlaku beberapa tahun lalu.

"Secara peribadi dan kerjaya, ia dilihat usaha yang seiring.

"Selain itu, ada kisah sedih, gembira dan kecewa dan semuanya diterjemahkan dalam bentuk puisi," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran single duet bersama Amira Othman berjudul Takkan Merubah di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.

Buku puisi itu tambah Sufian akan membabitkan kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan bakal dijadikan rujukan akademik.

"Sebab itulah buku puisi ini perlu dihasilkan dengan penuh teliti.

"Pihak UUM juga akan menguruskan soal penerbitan dan pengedaran.

"Setiap puisi dalam buku ini menggunakan judul lagu nyanyian saya termasuklah Terakhir 1 dan 2, Di Mata Mu 1, Harus Aku 2 dan Terasa Ada 3," tambah Sufian.

Sufian menjadi artis lelaki muda kedua selepas Fattah Amin yang sebelum ini pernah melancarkan buku 99 Kata #QalifModen Fattah Amin yang turut dinobatkan Buku Popular pada Anugerah Buku Negara 2017.