Seorang usahawan pizza dan peniaga char kuey teow adalah antara peserta program dakwah, Pencetus Ummah 2015 bagi tahun ini.

Untuk musim ketiga ini, seramai 12 orang peserta telah diperkenalkan menerusi sidang media Pencetus Ummah 2015 yang berlangsung semalam di Hotel Hilton, Kuala Lumpur yang mana turut memperkenalkan Mudir, Guru Persembahan dan pasangan hos untuk musim kali ini.

Menariknya, kesemua 12 orang peserta ini datang dari pelbagai latar belakang yang unik dan berbeza.

Mereka adalah PU Syed berusia 33 tahun iaitu seorang guru, PU Amin (25) yang pernah menuntut di Mesir, PU Taha (28) yang boleh bertutur dalam 5 bahasa serta PU Hilmi (23) seorang Pengurus MV Studio.

Selain itu, Pencetus Ummah 2015 juga bakal menampilkan PU Abu (21) iaitu seorang guru tuisyen, PU Merico (29) seorang usahawan pizza, PU Alen (33) peniaga char kuey teow sdan bintang Youtube serta PU Angah (28) yang gemar mengajar kompang.

Malah, buat julung kalinya program Pencetus Ummah ini turut menampilkan seorang peserta dari Singapura iaitu PU Adek (35) yang akan turut sama bersaing dengan seorang penulis motivasi iaitu PU Zaid (30), seorang motivator iaitu PU Muhsin (27) dan peserta termuda bagi Pencetus Ummah kali ini iaitu PU Ramadhan (19).

Selain itu, Pencetus Ummah juga turut memperkenalkan seorang pengetua atau dikenali dengan gelaran Mudir. Tugas itu bakal digalas pendakwah tersohor tanah air, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias.

Penceramah bebas, Ustaz Zulkefli Hamat dan pelawak Shamsul Ghau Ghau pula bakal mengemudi tugas sebagai hos program manakala pelakon terkenal tanah air, Fauziah Dato` Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy akan bertindak selaku Guru Persembahan.

Ustaz Kazim Elias yang bertindak sebagai Mudir juga akan memikul peranan sebagai juri tetap bersama penyampai radio SINAR fm, Abby Fana.

Jangan lupa saksikan Mimbar Pencetus Ummah 2015 yang akan membawa nafas baru dalam dunia dakwah ini secara langsung mulai 15 Oktober 2015 (Khamis) di Astro Oasis (saluran 106) dan Maya HD (135).

Oleh: Helmi Zainalabidin