Selepas tiga minggu ditayangkan di pawagam, filem terbaru lakonan Shaheizy Sam dan Zizan Razak iaitu Polis Evo berjaya meraih kutipan sebanyak RM13 juta sekaligus mencatat rekod sebagai filem Melayu paling laris tahun 2015 dan kedua terlaris di carta ‘All-Time’ filem tempatan.

Mengulas mengenai kejayaan ini, Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, pihaknya selaku penerbit filem Polis Evo mengucapkan terima kasih kepada penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang telah memberikan sokongan luar biasa terhadap filem Polis Evo.

“Pihak Astro Shaw, termasuklah pelakon dan pekerja filem merasa bersyukur dan terkejut dengan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada penonton yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang tidak henti-henti memberi reaksi positif mengenai Polis Evo menerusi laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan perbualan harian mereka,” jelas Najwa.

Terbaru filem Polis Evo telah tersenarai antara 10 carian terbanyak di Google Malaysia bagi bulan September. Malah filem arahan Ghaz Abu Bakar itu juga telah menjadi filem paling trending di Malaysia untuk bulan yang sama.

Kehadiran filem Polis Evo setidak-tidaknya dapat mengembalikan keyakinan khalayak penonton khususnya peminat filem Melayu untuk terus menyokong naskah-naskah tempatan tidak kira apa genre atau kategori sekalipun.

Tentang Polis Evo


Polis Evo merupakan filem bergenre aksi dan ia memaparkan kisah dua anggota polis, Khai (Shaheizy Sam) dan Sani (Zizan Razak) yang mempunyai personaliti yang sangat berbeza tetapi mereka harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah di negeri Terengganu.

Layari
www.polisevo.com.my untuk maklumat lanjut!


Teks Oleh: Khalid Rahman