Spider-Man bukan lagi sebahagian daripada watak adi wira dalam Marvel Cinematic Universe (MCU) selepas syarikat penerbitan filem Sony Pictures dan Disney tidak dapat memuktamadkan perjanjian untuk meneruskan perkongsian mereka, lapor Astro Awani.

Spider-Man pada mulanya menjadi sebahagian daripada francais terbitan Sony Pictures sebelum Disney melancarkan dunia MCU.

Kedua-dua syarikat itu membentuk perjanjian untuk berkongsi watak itu supaya ia dapat bergabung dengan dunia sinematik Marvel.

Perkongsian tersebut menyaksikan penampilan sulung Tom Holland sebagai Spider-Man dalam Captain America: Civil War dan seterusnya muncul dalam lima filem MCU secara keseluruhan.

Difahamkan masalah timbul apabila Disney yang hanya menerima 5 peratus daripada keseluruhan kutipan untuk sekuel Spider-Man: Homecoming dan Spider-Man: Far From Home mahu peratusan yang lebih besar pada masa hadapan.

Sony Pictures bagaimanapun memilih untuk mengekalkan perjanjian 5 peratus perolehan itu menyebabkan kedua-dua syarikat itu gagal mencapai kata putus.

Ekoran isu ini, Presiden Marvel Studios, Kevin Feige berkemungkinan tidak lagi menjadi penerbit dalam mana-mana filem Spider-Man pada masa hadapan.

Malah, Tom Holland juga mungkin tidak akan muncul dalam mana-mana filem Marvel Cinematic Universe sebagai Spider-Man selepas ini.

Namun perjanjian kesepakatan itu masih boleh dicapai sekiranya peminat lantang menyuarakan isu ini agar kedua-dua syarikat dapat bertolak ansur dalam hal ini.

Sumber: Astro Awani / Agensi