Penyanyi dan pelawak Mark Adam tampil memohon maaf atas ketelanjurannya bergurau keterlaluan dengan pengacara Sherry Alhadad mengenai fizikal wanita itu.

Menurut Mark, dia tidak berniat untuk menghina sesiapa namun dengan rasa rendah diri dia mengakui kesilapan yang telah dilakukan.

"Pertama kali saya nak minta maaf pada semua dengan apa yang berlaku semalam di Big Stage 2019. Saya kalau bergurau macam di rumah dengan rakan-rakan artis.

"Tapi semalam saya salah, sebenarnya ada sambungan lagi tapi saya tak sempat nak sambung. Niat saya bukan untuk menghina Sherry, Alif atau pihak di luar sana yang terasa.

"Saya mohon maaf dan apa yang terjadi adalah tidak profesional. Saya akan pastikan perkara ini tidak akan berulang lagi, maafkan saya semua.

"Saya sangat menyesal malam kejadian. Maafkan saya semua," katanya dengan tenang.

Permohonan maaf itu dimuat naik menerusi Instagram TV miliknya hari ini.

Terdahulu, Mark menerima kecaman daripada netizen selepas bertindak mempersendakan fizikal Sherry ketika konsert Big Stage 2 pada malam Ahad.

Pada konsert minggu pertama, Mark Adam diundang sebagai juri jemputan bagi bergandingan bersama dua juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Cakra Khan.

Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad, Big Stage 2 dibawakan kepada anda oleh Vivo selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.

Rancangan ditayangkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann mengacarakan Big Stage Live Plus yang disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!