Aktor Bollywood, Dato' Shah Rukh Khan telah dianugerahkan doktor kehormat daripada University of Edinburgh di atas sumbangan hebat beliau dalam dunia perfileman selain kerja-kerja amalnya sebelum ini.

Bintang legenda berusia 49 tahun itu layak untuk menerima ijazah kehormat Honoris Kausa iaitu gelaran yang diberikan sebagai suatu penghormatan (tanpa membuat tesis) setelah membintangi lebih daripada 80 buah filem Bollywood termasuk kerja amal membawa tenaga solar ke kampung-kampung luar bandar di India.

Selain itu, King Khan turut mewujudkan wad kanak-kanak di sebuah hospital di Mumbai dan menyokong dana untuk membantu kawasan yang dilanda Tsunami pada tahun 2004.



Menurut Shah Rukh Khan, pengikitrafan yang diberikan oleh University of Edinburgh memberi inspirasi buat dirinya untuk sentiasa bekerja lebih keras.

“Saya amat berterima kasih dengan pengiktirafan yang diberikan oleh University of Edinburgh dan semestinya penganugerahan ini memberi sumber inspirasi untuk saya bekerja lebih keras.

"Ia adalah pengalaman yang menyeronokkan untuk diberi penghormatan oleh University of Edinburgh dan mengikuti jejak langkah pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh di dunia. Diberi perhatian oleh salah sebuah pendidikan yang paling dihormati di dunia adalah sesuatu yang istimewa.



"Saya mengalu-alukan pihak universiti untuk terus memberi laluan dan kerjasama dengan negara India bagi menangani masalah kesihatan, akademik dan penyelidikan kecemerlangan dan keadilan sosial.

"Saya berharap ramai lagi rakyat India berpeluang untuk belajar, berfikir dan berkembang di Edinburgh," kata Shah Rukh selepas menerima anugerah itu.

Tahun lalu, Shah Rukh Khan menerima penghargaan besar iaitu darjat Knight of the Legion of Honor dari kerajaan Perancis di atas usahanya menyatukan perbezaan kebudayaan di seluruh dunia.

Olahan Semula: Khalid Rahman

Sumber: Indian Express, BBC, IB Times