Pelawak Ajak Shiro terpaksa akur apabila disingkirkan dari gelanggang suku akhir Super Spontan All Stars selepas kumpulan yang diwakilinya, #SilatDongibab tewas kepada #KungfuKipidap dari segi undian SMS.
Sebelum bermulanya permainan di pentas Super Spontan All Stars, ahli kumpulan #KungfuKipidap terpaksa menjalani hukuman #PerangBantalSpontan selepas tewas Jumaat yang lalu.

Menarik di pentas suku akhir, dua pelakon wanita iaitu Lia Natalia dan Nadiya Nisaa telah diberi penghormatan untuk menyertai permainan Super Spontan All Stars sebagai artis undangan.

Malah salah seorang ahli kumpulan #SilatDongibab iaitu Along Cham diarahkan untuk menyertai kumpulan #KungfuKipidap seperti diputuskan Afdlin Shauki pada minggu lalu bagi berlaku adil dan memudahkan kedua-dua pasukan bersaing mengikut permainan yang diberikan.

Antara permainan yang dipertaruhkan untuk malam ini ialah Kaki Tiru,Raja Pantun, Jangan Banyak Cakap, Pemandu Pelancong dan Laguku Untukmu.

Apa yang menjadi perhatian, sewaktu permainan Pemandu Pelancong , jawapan ‘Bukit Bendera’ Zizan Razak menjadi bahan jenaka para peserta termasuk hos Dato’ AC Mizal sehingga di akhir rancangan selepas tekaan pelawak kelahiran Terengganu itu tersasar jauh daripada jawapan asal iaitu kokpit kapal terbang.


Penyingkiran Ajak Shiro sebentar tadi menyaksikan #SilatDongibab kini hanya tinggal tiga orang peserta iaitu Zizan Razak, Achey Bocey dan Yus Jambu yang akan meneruskan perjuangan mereka di pentas separuh akhir kelak.

Jangan lupa untuk terus menonton pentas separuh akhir program Super Spontan All Stars pada Jumaat minggu hadapan di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Super Spontan All Stars dihoskan oleh Datuk AC Mizal sementara Afdlin Shauki, Ray dan Haniff beraksi sebagai pengulas.

Layari www.superspontanallstars.com.my untuk info lanjut!

Teks Oleh: Khalid Rahman