Vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim menafikan telah melarikan diri atau diculik daripada Rumah Pengasih, sebaliknya bertindak keluar dari pusat itu atas kerelaan dirinya sendiri.

Sehubungan dakwaan itu, Zamani dilaporkan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada jam 3.45 pagi, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob, mengesahkan perkara tersebut.

"Saya mengesahkan Zamani tiba ke IPD Muar pada jam 3.45 pagi semalam untuk membuat polis," katanya yang enggan mengulas lanjut ketika dihubungi.

Akhbar hari ini melaporkan penyanyi berusia 44 tahun itu didakwa melarikan diri dari Rumah Pengasih di Kuala Lumpur pada jam 10.26 malam, Khamis lalu dengan menaiki sebuah kereta berwarna putih.

Kejadian itu dipercayai dapat dirakam oleh sistem kamera litar tertutup (CCTV) rumah pengasih berkenaan, sebelum pihak pengurusannya membuat laporan polis kerana bimbang penyanyi itu diculik.

Zamani juga dipercayai terpaksa meninggalkan beberapa dokumen pengenalan diri termasuk MyKad, beberapa barangan peribadi dan sejumlah wang di rumah Pengasih terbabit, sebelum bertindak keluar dari pusat itu

Olahan Semula: Hafiza Kamarudin

Sumber: Berita Harian Online