Pelakon Janna Nick secara terbuka mengaku kesilapannya kerana kurang peka dengan pemilihan pakaian ketika menyampaikan ceramah motivasi baru-baru ini.

Janna berkata, dia juga tidak menyalahkan netizen yang telah mengkritik dan memberi teguran, sebaliknya mengambil kesemua maklum balas tersebut sebagai sesuatu yang positif.

“Saya minta maaf kepada semua dan saya mengaku kesilapan tersebut memang datang daripada saya.

“Saya yang tidak peka dalam pemilihan pakaian ketika itu, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menegur saya.

“Saya ambil positif semuanya dan selepas ini saya akan perbaiki pemakaian supaya bersesuaian dengan acara,” katanya kepada Gempak.

Jelas Janna lagi, dia diundang sebuah majalah gaya hidup dan fesyen untuk memberikan ceramah motivasi dan berkongsi pengalaman hidup dengan pelajar kolej, pada Ahad lalu.

Acara tersebut diadakan di sebuah lokasi umum, bukan di universiti atau kolej.

Bagaimanapun selepas berkongsi video di acara tersebut, ada netizen yang mengkritik kemeja dan jeans yang dipakai Janna terlalu ketat dan tidak sesuai untuk majlis ilmu.

Saya lebih setuju “AVOID MISTAKES “ bukan “ LEARN FROM YOUR OWN MISTAKES” @whitefluffy.my

A post shared by Janna Nick (@jannanick) on

Pakaian Janna yang dikritik

“Saya terima yang saya seharusnya lebih sopan dalam majlis ilmu, walaupun tidak dilakukan dalam universiti atau kolej.

“Kekhilafan saya ini, akan dijadikan pengajaran dan panduan untuk masa hadapan,” ujarnya positif.

Janna ditemui ketika majlis sidang media teater ‘Malayu-Pawana Isabella’ di bilik Nilam Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur petang Khamis.

Selain Janna, teater arahan Erma Fatima itu turut dibintangi Syafiq Kyle, Datuk Afdlin Shauki, Johan Raja Lawak, Datuk Ziela Jalil, Ozlyn Waty, Datin Seri Umie Aida, Azar Azmi, Jay Iswazir, Shahronizam dan ramai lagi.

Teater tersebut akan dipentaskan di pentas Panggung Sari Istana Budaya pada 21 Ogos hingga 31 Ogos ini.