Penyanyi popular, Khai Bahar telah melancarkan album sulungnya yang berjudul Air Mata.

Menurut Khai, walaupun album itu dilancarkan secara rasmi semalam, ia telahpun laris dijual melebihi 4,000 unit selepas diedarkan bermula 21 Julai lalu.

"Terus terang saya katakan, saya tak sangka album pertama ini mendapat sambutan hebat dari peminat, walaupun ia dilancarkan secara rasmi hari ini (semalam), tetapi ia telah terjual melebihi 4,000 unit sejak diedarkan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak NAR Records atas peluang yang diberikan ini, walaupun saya bukan lagi dibawah naungan mereka, tetapi kami masih berurusan dengan baik,"
katanya kepada Gempak.

Khai berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran album Air Mata bertempat di 1 Utama Shopping Centre semalam.

Dalam pada itu, Khai menambah, album tersebut turut memuatkan tiga lagu ciptaannya sendiri.

"Album ini memuatkan 11 buah lagu, ada tiga lagu yang saya cipta sendiri iaitu Air Mata, Keranamu dan Dia.

"Sedikit penceritaan tentang lagu Dia, ia mengisahkan tentang kehidupan berpasangan, saya membayangkan diri saya yang mempunyai pasangan di masa hadapan,"
tambahnya.

Album ini dijual dengan harga RM32.90 dan hanya boleh didapati melalui wakil-wakil NAR Records sahaja atau di akaun rasmi mereka. Unit adalah terhad dan eksklusif, sebarang pertanyaan mengenai album, sila hubungi 01123308086.