Pelawak dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki menjelaskan sebarang keputusan penyingkiran terletak di tangan peminat dan para peserta di program Super Spontan All Stars sendiri.

Menurut Afdlin Shauki atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Bin Aksan, penglibatannya dalam Super Spontan All Stars hanya sebagai pengulas selain memberi pandangan mengenai presatasi para peserta.

“Saya tidak pernah ganggu undian para peserta sejak dari awal lagi. Cuma saya hanya beri pendapat tentang siapa yang lebih baik dan menyerlah. Lebih-lebih lagi saya yang cipta atau reka program dan permainan ini.

“Jadi kalau para peserta main dengan betul atau acuh tak acuh saya boleh nampak. Tapi keputusan masih seratus peratus di tangan penonton dan peminat di luar sana,” jelas Afdlin Shauki kepada Astro Gempak.

Sementara itu Afdlin menjelaskan para peserta menunjukkan peningkatan presatasi secara mendadak terutamanya Along Cham.

“Secara jujurnya prestasi para peserta untuk edisi kali ini meningkat dan bagus belaka. Terutamanya Along daripada tak berapa pandai kini prestasi dia sememangnya boleh dibanggakan.

“Sekarang kita tidak boleh dah cakap Johan atau sesiapa pun bagus kerana masing-masing ada kelebihan yang tersendiri. Saya sangat berpuas hati kerana prestasi permainan pelawak sangat bijak,” kata Afdlin Shauki.

Jelasnya lagi, penyingkiran Along minggu lalu bukan kerana prestasinya yang teruk sebaliknya kerana format Super Spontan All Stars yang telah ditetapkan.

“Pandangan saya, bukan Along tidak beraksi dengan baik atau tidak bagus. Tetapi kerana format yang telah ditetapkan yang mana hanya enam finalis yang akan ke pentas akhir Super Spontan All Stars,” kata Afdlin.

Dalam pada itu Afdlin menjelaskan jika diberi pilihan dia memilih Johan sebagai peserta yang tersingkir di pentas separuh akhir kerana dia dianggap antara peserta ‘favourite’ oleh penonton.

“Jika saya ahli kumpulan #KungfuKipidap, semestinya Johan yang menjadi pilihan untuk disingkirkan kerana dia antara saingan paling kuat.

“Tapi apa saya Nampak pentas final pasti lebih sengit kerana keenam-enam finalis akan berjuang habis-habisan lebih-lebih lagi dua juara edisi sebelum ini Johan dan Zizan turut akan bertembung,” ujar Afdlin mengakhiri perbualan.

Pentas akhir Super Spontan All Stars bakal menyaksikan saingan hebat oleh Zizan Razak, Johan, Achey Bocey, Tauke dan Yus Jambu untuk merebut gelaran juara yang akan berlangsung pada 30 Oktober di Dewan Raja Muda Musa, Selangor.

Super Spontan All Stars dihoskan oleh Datuk AC Mizal sementara Afdlin Shauki, Ray dan Haniff beraksi sebagai pengulas.

Layari www.superspontanallstars.com.my untuk info lanjut!

Teks Oleh: Khalid Rahman