Sebagai pelakon, penyanyi, pelawak, pengacara TV serta penyampai radio berstatus ibu tunggal, pasti bukan satu tugas yang mudah untuk Kak Engku bekerja di dalam industri ini sambil menguruskan keluarga.

Namun, demi membesarkan anak-anak, semua kepayahan itu terpaksa diketepikan agar mereka mampu memperolehi kehidupan serta pendidikan yang baik serta mampu hidup dengan bahagia dan sempurna.

Sebagai seorang ibu, pastinya Kak Engku juga memahami jiwa dan perasaan ibu yang lain. Pastinya juga Kak Engku memahami pengorbanan mereka dalam menguruskan keperluan seharian mereka, mentadbir hal-ehwal rumahtangga serta mendidik dan membesarkan anak-anak.

Menerusi program Sunlight Ops Dapur, Kak Engku telah meraikan enam wanita berstatus ibu iaitu Farah Aini Azmi, 31, Norlela, Zai Suhana Mohd Tap, 33, Suzana Ismail, 35, Juliza Abdul Rashid, 36 serta Amnalizatun Ahmad Amran, 39, untuk menikmati masa luang mereka sendiri dengan melakukan aktiviti mereka sendiri tanpa memikirkan tugasan di rumah.

Antara aktivitui-aktiviti yang dilakukan oleh keenam-enam ibu ini adalah membeli-belah untuk barang keperluan peribadi mereka sendiri, berkumpul dan menghabiskan masa dengan rakan-rakan lama, memanjakan diri mereka di salon atau spa serta menikmati saat romantis bersama suami seperti zaman bercinta dulu-dulu.

Ternyata kesemua enam ibu-ibu ini amat teruja sekali apabila berpeluang menikmati masa luang mereka sendiri dan rata-rata mereka mengakui bahawa mereka berasa amat dihargai sekali, walaupun ia hanya untuk tempoh sehari.

Malah, apa yang menarik juga, keenam-enam ibu ini telah diberi kejutan apabila suami dan anak-anak telah mengambil-alih tugasan di dapur dengan bantuan Kak Engku dengan memberikan tugasan kepada mereka untuk membersihkan ruang dapur yang kotor dan berkecah.

Lebih menarik, apabila Kak Engku turut membawa chef undangan iaitu Chef Fikree Aznan untuk menyediakan juadah enak untuk meraikan kepulangan ibu-ibu tadi.

Semua ini dapat anda saksikan dalam Sunlight Ops Dapur yang mula bersiaran sejak 26 September 2015, setiap Jumaat, jam 7 malam, di saluran Astro Prima dan Astro Maya HD.