Pada penghujung tahun lalu Perodua mempamerkan model konsep mereka menerusi model Myvi GT kepada pengunjung Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS 2018).

Namun adakah ia sekadar model konsep sahaja. Untuk kepastiannya Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, banyak yang bertanya berhubung Myvi GT itu dan responnya sangat mengejutkan.



Menurutnya, kereta konsep yang kami pamerkan itu memerlukan kos yang sangat banyak dan agak mustahil untuk dihasilkan.

“Namun, kami sekarang sedang membangunkan berdasarkan konsep itu, bagaimana untuk menghasilkan Myvi GT yang lebih berpatutan.

“Biarpun ia tidak menggunakan komponen sama, sekurang-kurangnya hampir sama dengan konsep Myvi GT adalah mustahil,” katanya.



Model ini dilengkapi dengan bampar hadapan yang lebih agresif serta ia dihiasi dengan garisan mewah pada jeriji dan perumah lampu.

Selain itu, ia lebih kelihatan menyerlah dengan adanya jalur lampu LED dan yang paling menarik Myvi ini dilengkapi dengan bumbung matahari.

Rodanya yang bersaiz 17 inci menjadikan jentera ini lebih bergaya dan ia turut dilengkapi dengan brek Brembo Merah di ruang dalamannya.



Ia juga hadir dengan kerusi bucket yang dibaluti kulit Alcantara yang diceriakan lagi dengan kemasan warna merah.

Manakala tempat duduk bahagian belakang pula diubah suai dan kini hanya memuatkan dua orang penumpang sahaja. Ini kerana bahagian tengah menjadi tempat menyimpan barang.

Bahagian belakang Myvi GT ini juga lebih menarik dengan kehadiran bampar yang agresif. Ia turut disertakan ekzos berkembar pada bahagian tepi kiri dan kanan.