Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj tidak sabar untuk bergelar pengantin lagi menjelang Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI yang akan diadakan pada 30 Julai nanti.

Menerusi akaun Twitter rasminya, @cheminahsayang, Raja Permaisuri Agong berkongsi tiga keping foto rasmi yang dikeluarkan oleh Istana Negara untuk tatapan pengikutnya.

Terlebih dahulu, Raja Permaisuri Agong memohon maaf kerana telah memuat naik foto rasmi tanpa memeriksa gambar rasmi tersebut boleh dikongsi kepada umum atau tidak.“Maaf..... Terdelete kerana tidak check terlebih dahulu sama ada gambar rasmi boleh di share atau tidak.... Tak sabar nak jadi pengantin lagi agaknya! Selamat Pengantin Baru,” tulis Raja Permaisuri Agong di Twitternya.

Rata-rata netizen terhibur dengan jenaka Raja Permaisuri Agong yang sangat merendah diri dan sentiasa dekat dengan rakyat.

Malah, ramai juga yang terpersona dengan penampilan Raja Permaisuri Agong yang mengenakan persalinan kuning Diraja, simbolik bersempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI kelak.


“Bagai pinang dibelah dua. Ni bukan raja sehari, raja setiap hari. Appreciate your social media engagement. At least the rakyat will feel close to the rulers. Daulat Tuanku!” ujar seorang netizen tentang gambar yang dikongsi Raja Permaisuri Agong.

“Tuanku, sangat lah cantik dan indah busana Di Raja ini, terletak elok pada pasangan kesayangan rakyat Malaysia. Moga Allah permudahkan urusan pertabalan YTM Yang Di Pertuan Agong”, tulis seorang netizen.

“Tuanku Permaisuri minta share skincare routine cantiknyaaa!” Pinta seorang netizen tentang wajah mulus Raja Permaisuri Agong.
Selain itu, Raja Permaisuri Agong turut berkenan menjawab pertanyaan seorang netizen tentang Tengkolok Diraja yang digunakan oleh setiap Agong di Malaysia.

“Every Agong will have his own headgear,” jawab Tunku dengan mesra.

Pada 30 Julai ini, seluruh rakyat Malaysia diberikan cuti umum bersempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Istiadat pertabalan akan berjalan secara siaran langsung dari Istana Negara dan dipancarkan terus ke kaca televisyen.