Pelakon Datuk Fizz Fairuz masih bersikap terbuka untuk memaafkan pemilik akaun Instagram (IG) Makcik Puaka walaupun cuba memfitnah dirinya.

Kata Fizz, dia berharap untuk bertemu sendiri dengan pengendali akaun tersebut biarpun sudah berlanjutan lebih tiga bulan.

"Memang dia ada memuat naik kenyataan maaf pada Instagram Stories namun bukan secara peribadi kepada saya.

"Saya hanya mahu bersemuka dengan individu yang memegang akaun Makcik Puaka itu.

"Seboleh-bolehnya, saya ingin menyelesaikan masalah ini secara damai dengan individu tersebut," katanya kepada Gempak.

Fizz ditemui pada majlis pra pelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-32 yang diadakan di Tamu Hotel, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tambah pemilik nama Mohd Fairuz Zainal Abidin ini, kes terbabit masih dalam siasatan peguamnya.

"Kes itu bukan senyap tetapi siasatan masih berjalan.

"Saya hanya menunggu nasihat daripada peguam dan pihak sewajarnya sebelum meneruskan tindakan selanjutnya.

"Sebenarnya saya sudah mengetahui beberapa butiran peribadi seperti alamat kediaman pengendali IG terbabit.

“Apa yang boleh dikongsikan setakat ini adalah kami tahu dia seorang lelaki,” katanya lagi.

BACA: "Ada Orang Nak Kena Saman! Standby" - Fizz Fairuz

BACA: “Sesiapa Terlibat, Mohon Cepat Ok…”- Fizz Fairuz Mahu Saman Jika Tidak Mohon Maaf

BACA: "'Mak Cik Puaka' Orang Industri!" - Sudah Kenalpasti Identiti, Fizz Fairuz Tunggu Permohonan Maaf Sampai Malam Ini

Sebelum ini, pemilik Instagram tersebut cuba memfitnahnya dengan mendakwa Fizz adalah lelaki yang dikatakan bergelar Datuk Seri yang ditangkap khalwat bersama pasangannya di Pulau Perhentian beberapa bulan lalu.

Pada 7 April lalu, Fizz memberikan amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang terbabit dengan isu fitnah itu.

Fizz dalam pada itu enggan menerima permohonan maaf bertulis daripada pemilik Instagram itu.

Laporan polis sudah dibuat pada 16 April selepas kegagalan Makcik Puaka membuat permohonan maaf seperti yang dituntut dalam tempoh yang telah diberikan.

Susulan kejadian itu, pemilik akaun tersebut sudah tidak menggunakan nama Makcik Puaka sebagai identitinya.

BACA: "Kita Nak Jernihkan Keadaan, Bukan Nak Burukkan..." - Dato' Fizz Fairuz Tak Terima Permohonan Maaf Makcik Puaka Di Instagram

BACA: “Tiada Maklum Balas…”- Fizz Fairuz Buat Laporan Polis