Adik Ainul Mardhiah yang selesai menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kanser ‘Germ Cell Tumor' di London dikhabarkan akan kembali ke Malaysia hari ini.

BACA: Adik Ainul Mardhiah Akan Pulang Ke Malaysia Tak Lama Lagi

Namun, penerbangan pulang Ainul yang sepatutnya dijadual tiba petang ini terpaksa dibatalkan susulan masalah kesihatan dihadapinya.

Menjelaskan situasi tersebut, Ibu saudaranya Anis Sofiah Ahmad Razak, 22, berkata, penerbangan yang sepatutnya dijadualkan 9.30 malam tadi (waktu United Kingdom) dibatalkan 11.45 malam tadi.

"Abang bagi tahu doktor tidak benarkan Ainul balik lagi.

“Ainul perlu mengambil ubat antibiotik sekurang-kurangnya seminggu. Mereka mungkin akan berada di sana (UK) selama dua minggu lagi," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, memaklumkan yang anaknya itu akan dibawa pulang ke tanah air secara senyap.

Jelasnya, tarikh penerbangan juga tidak akan diberitahu atas nasihat doktor kerana dikhuatiri akan menyebabkan tumpuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) nanti.

“Harap semua orang faham keadaan Ainul, demi mengelakkan anak kami daripada jangkitan,” katanya.

Untuk pengetahuan anda, Ainul Mardhiah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di Hospital Kanak-kanak di UK pada 10 Jun lalu.

Kesihatannya terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.