Pelakon Putri Mardiana menukar pengakuan kepada bersalah kerana tidak mahu anaknya tertekan pada hari dia mengambil keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Saya mengaku salah sebab nak tamatkan cerita yang tersebar di media sosial. Lagipun keputusan UPSR anak saya keluar hari ini (semalam). Saya tak mahu dia tertekan,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Dia berkata demikian selepas menukar pengakuan kepada bersalah apabila tuduhan berkhalwat terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada Selasa.

Berikutan pengakuan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda malsimum RM3,000 terhadap pelakon filem Ngangkong berusia 34 tahun itu.

Pasangan lelakinya, Shahrizam Abdullah, 31, turut didenda selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan sama.

Terdahulu, Putri Mardiana yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan menanggung ibu dan abangnya yang juga orang kurang upaya (OKU) selain tiga anak.

Manakala Shahrizam yang bekerja sebagai penyelia projek pembinaan pula memohon tidak dipenjarakan kerana menanggung ibu dan bapanya serta anak berusia dua tahun.

Sumber: Harian Metro