Pengarah Azma Aizal Yusoof mengaku bersalah memukul Ika Nabella kerana mahu aktres tersebut menjiwai watak yang diberikan.

"Ketika penggambaran, saya kurang berpuas hati dengan lakonannya dan sudah banyak kali babak yang dilakonkan dirakam semula.

"Sehinggakan saya mengambil pendekatan kaedah yang digunakan oleh produksi negara Jepun, memukul Ika bagi mendapatkan lakonan yang baik.

“Tetapi saya akur bahawa cara tersebut tidak sesuai dilakukan di sini (Malaysia),” katanya seperti dilaporkan mStar Online.

Bagaimanapun, Azma Aizal mengaku bersalah kerana bertindak memukul pelakon Ika Nabella di lokasi penggambaran drama Dawai di Hulu Klang pada 2 November lalu.

"Dan saya mengaku bersalah atas tindakan itu kerana mengasari Ika tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Bagaimanapun saya tidak menumbuk Ika seperti laporan yang dikeluarkan di media," katanya.

Azma ditemui pada sidang media khas di pejabat penerbit drama berkenaan iaitu Suhan Movies di Setiawangsa, di sini pada tengah hari Rabu.

Dalam pada itu, Azma turut berkata, kes tersebut sudah pun selesai dan Mahkamah Majistret Ampang pada Isnin lalu memutuskan pengarah itu didapati bersalah dan dikenakan denda sebanyak RM2,000.

Sementara itu, Azma menafikan kejadian itu berpunca daripada masalah penyakit gangguan bipolar yang dialami sejak tahun 2009.

"Ketika kejadian, saya sudah pun mengambil ubat dan ia bukan berkaitan penyakit saya seperti yang diperkatakan.

"Lagipun, saya tidak mempunyai masalah dengan penyakit saya ini ketika di set penggambaran," ujarnya.

Terdahulu, Ika mendakwa dipukul dan ditumbuk pada bahagian muka dan beberapa bahagian badan oleh pengarah lelaki itu.

Berikutan kejadian tersebut, Ika membuat laporan di Balai Polis Hulu Klang, dekat sini pada malam hari kejadian.

Olahan Semula: Hafiza Kamarudin

Sumber: mStar Online