Teknologi dalam bidang elektronik sentiasa berubah mengikut peredaran masa dan untuk mereka cipta sesebuah peralatan elektronik, ia nyata memerlukan daya inovasi yang cukup tinggi.

Inilah yang cuba diusahakan inovator yang berasal dari Jasin, Melaka iaitu Mohamad Rosli Ishak, 36. Mula berkecimpung dalam bidang reka cipta setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia, Rosli telah mereka cipta mesin Computer Numerical Control atau lebih di kenali sebagai CNC.

Selepas tamat peperiksaan SPM beliau berhijrah ke Singapura dan bekerja di kilang elektronik selama beberapa tahun sebelum berpindah ke Kuala Lumpur dan bekerjasama dengan perekacipta terkenal, Zulkifli Harun ( Zul Design) untuk menghasilkan pelbagai produk kreatif dalam bidang elektronik.

Tidak lama kemudian beliau mula bergerak solo sebagai perekacipta dan produk pertama beliau ialah sebuah mesin Computer Numerical Control (CNC).

Mesin CNC ialah mesin pemotong besi berprogram dan sering digunakan di kilang-kilang dan amat mahal harganya.

Terdapat pelbagai jenis mesin CNC dan yang diilhamkan Rosli adalah mampu milik dan boleh digunakan oleh syarikat-syarikat kecil yang tidak mempunyai modal yang besar.

Tercetusnya idea mencipta mesin CNC adalah semasa di Singapura lagi. Syarikat tempat Rosli bekerja mebuat projek membaiki mesin basuh dobi “Dob Vending Machine”.

Rosli mendapati mesin tersebut sangat efisien dan dapat menyediakan perkhidmatan dobi pada harga rendah. Ia memberi ilham kepada beliau untuk menghasilkan mesin basuh yang lebih baik lagi.

Berikutan kesukaran beliau untuk memotong besi bagi menghasilkan Dobi Vending Machine, dan ditambah pula dengan kos yang terlalu tinggi untuk membeli 1 unit mesin tersebut, Rosli bertindak positif membina sendiri mesin CNCnya.

Bermula dengan belajar dari video di laman web Youtube dan memerah keringat membuat kajian selama 3 tahun, mesin tersebut berjaya dihasilkan dan berfungsi sempurna.

Menurut beliau, jika di luar negara, mesin tersebut sudah menjadi keutamaan untuk kegunaan industri namun di Malaysia ianya masih baru.

Oleh itu, Rosli juga telah menaik taraf dan meningkatkan keupayaan perisian dan teknikal mesin tersebut agar dapat di gunakan dan selari dengan industri di Malaysia.

Berbekalkan bantuan modal dari UMNO, rakan-rakan dan pinjaman dari Tekun yang berjumlah hampir RM40,000.00, beliau berjaya menghasilkan mesin tersebut secara berperingkat selama 3 tahun.

Bahagian mesin bagi produk CNC ini kebanyakannya adalah barangan terpakai yang di import dari China. Mesin CNC ini di hasilkan di kedai beliau sendiri iaitu di Taman Bukit Tembakau, Melaka.

Sehingga ke hari ini, beliau berjaya menghasilkan sebanyak 5 unit mesin CNC yang setiap unit berharga antara RM 20,000 hingga ke RM 100,000.00 mengikut spesifikasi, fungsi dan juga kehendak pelanggan.

Rosli mula dijejaki oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) pada 2013 menerusi inovasi Dobi Vending Machine. Seterusnya, pada tahun 2014, YIM telah melawat beliau menerusi program ‘Outreach’ dan beliau telah menunjukkan produk inovasi ciptaan beliau yang terbaru iaitu mesin CNC.

YIM melalui Program Berimpak Tinggi (HIP6) telah memilih inovasi produk mesin CNC sebagai salah satu produk di bawah program ini.

Program ini adalah salah satu program yang terdapat di dalam Pelan Induk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang di terajui oleh SME Corp.
Justeru, YIM telah membantu, mempromosi dan mengetengahkan produk beliau kepada “potential customer”.

Selain dari itu, YIM juga akan menjadi agen pemasaran mesin CNC Rosli untuk sekolah-sekolah vokasional di seluruh Malaysia.