Astro First Eksklusif membawakan sebuah supertelefilem terbaru, kesinambungan dari Strawberi & Karipap Sesat Kat Paris, iaitu Strawberi & Karipap Hello Gold Coast.

Berlatar belakangkan keindahan bumi Australia, supertelefilem dengan genre komedi famili ini menyaksikan gandingan mantap pemenang Anugerah Bintang Filem Meletop, Anugerah Meletop Era iaitu Nelydia Senrose dan Zizan Nin, yang sudah sinonim dengan siri Strawberi dan Karipap sebelum ini.

Dua bintang cilik Mia Sara yang juga pengacara bersama Ceria All Stars dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27, Rykarl Iskandar sekali lagi dipilih menerajui watak Nini dan Haikal dalam supertelefilem arahan pengarah prolifik Nizam Zakaria ini.



Strawberi & Karipap Hello Gold Coast padat dengan aksi pengembaraan lucu dua bintang kecil tersebut di samping keletah bintang undangan Zizan Razak yang pastinya menceriakan supertelefilem terbitan Global Station Sdn Bhd ini.

Penolong Naib Presiden Astro Ceria dan Segmen Remaja, Hadzelynda Khairuddin, berkata, kejayaan dan sambutan luar biasa yang diterima menerusi supertelefilem Strawberi & Karipap Sesat Kat Paris pada tahun lalu adalah sesuatu yang diluar jangkaan.

“Kebanyakan dari penonton terutamanya kanak-kanak terhibur dengan jalan cerita dan lakonan yang ditampilkan.

“Jadi, kali ini kami tampil dengan supertelefilem terbaru yang eksklusif, dengan penceritaan yang lebih kemas serta aksi lakonan mantap dan bersahaja dari semua yang terlibat.

“Istimewanya kali ini, kalau dahulu kita telah tampilkan keindahan kota Paris sebagai latar belakang produksi yang pertama, kini kami kembali dengan pengembaraan yang lebih menarik dan mencabar di bumi Australia pula,” katanya ketika majlis sidang media baru-baru ini.

Tambahnya lagi, Strawberi & Karipap Hello Gold Coast bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberikan tauladan yang baik kepada anak-anak yang menontonnya melalui penerapan nilai-nilai murni yang boleh dilihat di sepanjang supertelefilem ini disiarkan.

“Jenama Strawberi karipap yang tidak asing lagi bagi saluran 611, Astro Ceria ini padat dengan mesej kekeluargaan serta turut memaparkan sifat yakin diri dan kebijaksanaan Nini dan Haikal dalam menyelesaikan masalah orang dewasa.



“Kami berbesar hati menerima pelawaan Tourism Australia dan Tourism & Events Queensland untuk berkerjasama dengan pihak ASTRO dan Global Station dalam merealisasikan supertelefilem Strawberi & Karipap Hello Gold Coast.

“Kami sangat bertuah kerana dapat berkongsi keunikan dan keseronokan bumi Gold Coast bersama penonton melalui supertelefilem ini. Oleh itu, kami begitu berharap agar para penonton terutamanya anak-anak di luar sana akan berasa terhibur dengan buah tangan kami yang cukup istimewa ini,” ujarnya.

Strawberi & Karipap Hello Gold Coast akan bersiaran di Astro First Eksklusif saluran 480 mulai 26 November 2015 ini.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin