Tenaga dan kuasa elektrik sangat penting untuk menjalankan aktiviti harian. Oleh itu empangan diperlukan untuk menjana tenaga dan kuasa elektrik dan disalurkan kepada penduduk setempat.

Menyedari hakikat ini, Abdul Hamid Jasmin dari Kampung Libang Laut telah berusaha membina empangan di sebuah sungai kecil.

Reka bentuk ringkas turbin yang disambung kepada enjin, kotak gear dan dinamo membolehkan penduduk kampung tersebut menikmati bekalan elektrik tanpa putus, selama 24 jam sehari.

Hasilnya, inovasi yang dilakukan Abdul Hamid ini mampu berfungsi untuk membekalkan elektrik kepada 14 buah rumah sejak tahun 2003.

Abdul Hamid mula mengusahakan empangan binaannya sendiri beberapa kali mencuba serta membuat pengubahsuaian beliau sendiri.

Walaupun tidak miliki pendidikan tinggi dan cuma bekerja sebagai penjaga generator minyak kampungnya, namun semua itu semua tidak menghalang Abdul Hamid mempelajari apa yang perlu untuk membolehkan ciptaannya memberi manfaat kepada penduduk kampung.



Bergantung kepada bentuk muka bumi dan saiz sungai, rekaannya itu boleh diubah suai bagi membolehkan turbin menjana cukup tenaga elektrik bagi kegunaan penduduk setempat.

Dengan hanya menambah kotak gear, beliau berjaya meningkatkan putaran kincir air daripada 40 kali putaran seminit (RPM) kepada kadar 1,500 RPM yang diperlukan enjin bagi menghasilkan tenaga elektrik secukupnya.

Akhirnya, beliau berjaya menghasilkan empangan hidroelektrik bersaiz mini dengan kos sekitar RM10,000 dan kini diselenggara dengan kos sekitar RM15 sebulan daripada setiap penduduk kampung yang berkongsi bekalan elektrik.

Reka bentuk ringkas empangan itu yang tidak pernah rosak sejak 2003 juga telah menarik penyelidik dari beberapa universiti tempatan datang beberapa kali bagi mengkaji rahsia kejayaannya. Abdul Hamid menjelaskan, tiga lagi empangan mini telah dibina di kawasan perkampungan lain dengan satu lagi dalam perancangan berhampiran Kota Kinabalu.

Beliau bagaimanapun berharap bantuan dapat diberikan dari sudut menambah baik struktur asas empangan dengan penggunaan simen dan konkrit agar dapat mengukuhkan lagi ketahanannya kelak.

Melihatkan faktor geografi yang menyukarkan sambungan elektrik ke kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak, reka bentuk ringkas ciptaan Abdul Hamid boleh memberi alternatif kepada penduduk luar bandar yang belum menerima bekalan elektrik.

Antara ciri yang ditekankan beberapa peserta ekspedisi Jejak Inovasi Sabah adalah reka bentuk ini sudah tersedia dan cuma perlu dikomersilkan sahaja untuk kegunaan kawasan pedalaman lain dan mungkin juga sesuai untuk ke pasaran.