Pemergian pelawak Pak Yus atau nama sebenarnya Yussry Bin Edoo pastinya dirasai para peminat dan kalangan artis yang sama-sama berjuang dalam dunia komedi tanah air.

Siapa sangka, pelawak berbakat kelahiran negeri Perlis ini pergi meninggalkan kita tanpa sebarang tanda-tanda masalah kesihatan yang serius.

Namun Allah SWT lebih menyanyangi insan yang cukup disenangi oleh umum ini untuk pergi menemui illahi walaupun dalam usia yang masih muda.

Lebih terkesan dengan pemergian Allahyarham Pak Yus semestinya rakan karib yang juga salah seorang ahli kumpulan Jambu iaitu Tauke.

Kehilangan Pak Yus sudah pasti memberi kesan yang amat mendalam buat Tauke yang merupakan antara duo lawak paling ideal kegemaran ramai.

Malah ada di antara kalangan selebriti tanah air turut meluahkan rasa sedih dan terkejut dengan berita pemergian Pak Yus.

Antaranya penyanyi Mawi yang turut mengingatkan kita tentang kematian dan mengakui akan selalu merindui Allahyarham Pak Yus.

“Roh tetap akan tetap meneruskan perjalanan. Esok lusa kita pula akan menyusul . Itu Pasti! Akan selalu rindu kau Pak Yus,” jelas Mawi seperti dipetik menerusi status akaun Facebook miliknya.

Selain itu, pengacara dan pelawak Jihan Musa menyifatkan Pak Yus seorang yang berhati mulia dan disenangi ramai.

“Dia seorang yang berhati mulia dan baik. Rasanya sukar untuk orang membenci Pak Yus kerana ramai yang senang dengan keletahnya yang sangat bersahaja,” luah Jihan Musa.

Lebih mendalam apabila apabila pengarah dan pelawak, Afdlin Shauki turut memberi kata-kata terakhir buat Pak Yus yang juga merupakan salah seorang peserta program Super Spontan All Stars baru-baru ini.

“Innalillah wainna illaihi rojiuun. Al-fatihah. Rehat sahabat... Rehat. Semoga Allah meletakkan roh mu bersama roh-roh org beriman. Al-fatihah,” tulis Afdlin Shauki di laman Facebook miliknya.

Selepas ini tiada lagi ayat-ayat lawak ‘random’ Pak Yus lagi yang bakal kita saksikan seperti “Boleh Tuju Lagu?”, “Muka Legend, Hati Cute”, “Apa Pun Tak Boleh”, “Siti Nur Enjoy” dan banyak lagi.

Terima kasih Pak Yus. Peminat komedi tanah air pastinya akan merindui lawak-lawak anda yang semestinya sukar dicari.

Semoga kau tenang di sana. Hanya doa yang akan sentiasa mengiringimu.

Al-Fatihah.

Teks Oleh: Khalid Rahman