Pergaduhan hampir tercetus apabila hos ‘Hurry Up, Brother’ (Running Man versi China), Zheng Kai tidak puas hati tanda namanya berjaya ditanggalkan penyanyi, Luhan.

Kejadian tersebut berlaku ketika mereka menjalani penggambaran ‘Hurry Up, Brother’ di Melbourne untuk episod istimewa yang bakal bersiaran tidak lama lagi.

Menurut peminat yang berada di lokasi, Zheng Kai berang sebaik sahaja Luhan dan rakan sepasukannya Deng Chao menanggalkan tanda namanya.

Tanpa rasa bersalah, Zheng Kai menunjukkan kemarahannya dengan membaling baju serta menyepak topinya sebagai tanda protes.

Luhan yang terkejut dengan tindakan Zheng Kai itu kemudiannya mengambil keputusan untuk berjumpa dengan hos tersebut ditemani Deng Chao.

Selepas kejadian itu, Zheng Kai telah memuat naik sekeping foto menerusi akaun Instagramnya dengan kapsyen berbaur sindiran, ‘Be Nice.’

Bagaimanapun, Luhan membalas kembali kenyataan itu dengan meninggalkan komen ‘we’re good’ untuk mengelakkan peminat salah faham.

Spekulasi mengatakan insiden itu berlaku disebabkan Zheng Kai tidak puas hati dengan pemilihan Luhan yang juga merupakan bekas anggota kumpulan K-Pop terkenal Exo sebagai ahli tetap program tersebut untuk musim ketiga.

Susunan Oleh: Mya Amri

Sumber: Soompi, Allkpop