Pelakon popular Izzue Islam merancang untuk menjalani pemeriksaan kesuburan bersama isterinya, Awin Nurin dalam masa terdekat.

Izzue berkata, dia dan isteri juga sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan selepas pemeriksaan dilakukan.

“Kami akan pastikan menjalani pemeriksaan pada tahun ini juga. Sudah lama kami rancang, namun tertangguh kerana jadual kerja yang padat.

“Kami juga sudah mempersiapkan mental sekiranya diberitahu salah seorang daripada kami mempunyai masalah,” katanya tenang.

Tambah Izzue lagi, sekiranya perkara tersebut berlaku, ada pelbagai cara dan ikhtiar yang boleh dilakukan dan tidak perlu berasa malu.

“Saya dan isteri sudah bincang mengenai perkara tersebut, segala ikhtiar juga akan dilakukan untuk mendapatkan cahaya mata memandangkan sudah lima tahun mendirikan rumah tangga.

“Apa yang nak dimalukan, semuanya Allah yang tentukan dan kita sebagai hamba jangan pernah berhenti berusaha,” ujarnya.

Izzue turut memberitahu dia tidak menolak untuk menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sekiranya dinasihatkan untuk berbuat demikian.

“Insya-Allah, selagi ia tidak menyalahi dari segi agama, kami juga mahu menggunakan kemudahan teknologi canggih sedia ada untuk dapat anak,” katanya.

Izzue ditemui pada majlis sidang media Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends pada petang Rabu di Hotel Istana, Kuala Lumpur.

Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends akan berlangsung selama empat hari bermula 15 hingga 18 Ogos, bersempena cuti persekolahan nanti.

Berdurasi selama 65 minit, konsert yang dibawakan secara ekslusif dan interaktif itu akan diadakan di Quill Convention Center, Kuala Lumpur.

Tiket konsert dijual dengan harga bermula RM35, RM55 dan RM85 mengikut zon. Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tiket seawal yang boleh kerana pelbagai tawaran menarik menanti anda!