Penyampai radio Jaa Suzuran menyerahkan tanggungjawab untuk mencari calon isteri kepada ibunya.

Jelas Jaa atau nama sebenarnya Mohammad Faizal Ahmad, 25, dia percaya dengan pilihan ibunya yang pasti mahukan terbaik buat dirinya.

"Kalau boleh sebelum usia 30 tahun saya target nak kahwin. Cuma masih belum ada calon lagi buat masa sekarang.

"Saya ada pesan pada ibu saya, seandainya dia sudah punyai calon buat saya, maklumkan saja. Dia tahu apa saya mahu.

"Senegeri atau tidak itu tak menjadi keutamaan saya," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Mind Order di Forest Valley Hall Cheras baru-baru ini.

Tidak meletakkan kriteria tertentu untuk wanita idaman, kata bekas penyampai radio ERA itu, dia mendambakan seorang wanita yang 'gila-gila' sepertinya.

"Daripada segi fizikal, kalau ada sama kecil comel seperti saya pun tiada masalah. Kalau tinggi daripada saya pun okey saja.

"Seandainya dia boleh menerima saya seadanya, saya pun terima dia seadanya. Lagi baik kalau dia boleh terima perangai 'gila-gila' saya," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Jaa kini sibuk memperbanyakkan kandungan saluran YouTube miliknya selain mempromosikan jenama pakaian dan minuman pemanis mulut dari Thailand, Cha Bang-An.