Khabar yang Miss K terima ini disampaikan oleh seorang teman Miss K, Qistina Vergara. Menurut Qistina, dia mendengar cerita ini ketika sedang lepak di sebuah café terkemuka di KLCC baru-baru ini.

Sedang Qistina menikmati secangkir coklat panas, dia terdengar perbualan tiga orang wanita di meja belakang. Kata Qistina, tiga sekawan itu sedang sibuk bercerita dan tiba-tiba, Qistina terdengar nama aktor Shaheizy Sam dalam butir perbualan mereka.

Dengarnya, Sam bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat ini. Persiapan perkahwinan pun sedang giat dijalankan. Apa yang menariknya, Qistina mendengar yang Sam bakal menamatkan zaman bujang bersama rakan kepada tiga sekawan itu.

Tapi, nama aktres yang dikaitkan dengan Sam, Syatilla Melvin tidak pula terdengar dalam perbualan tersebut. Habis tu, Sam bakal berkahwin dengan siapa? Selama ini, nama Syatilla sering dikaitkan dengan Sam.

Mereka didakwa sedang asyik menjalin hubungan cinta namun perkara itu dinafikan oleh Sam dan Syatilla. Sam dan Syatilla lebih selesa menggunakan terma teman rapat dalam mengklasifikasikan hubungan mereka.

Miss K pun kurang pasti dengan siapa Sam bakal berkahwin. Jika benarlah berita ini, Miss K ucapkan tahniah kepada Sam. Semoga persiapan perkahwinan Sam berjalan lancar. Jika tidak, Miss K doakan agar Sam segera menamatkan zaman bujang. Pastinya ramai peminat di luar sana sudah tidak sabar mahu melihat Sam bersanding di atas pelamin!

Miss K: Suka dengar lagu terbaru Estranged dan Fazura yang berjudul Hancur Aku. Best!