Juara Gegar Vaganza 2 (GV2), Siti Nordiana tidak malu mengaku dirinya seorang penyanyi kampung, malah bangga dengan status tersebut.

Siti Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Nana itu memberitah, bangga dengan status tersebut kerana menerusi gelaran itulah dia berada di industri hiburan tanah air.

“Alhamdulillah, saya berbangga sebenarnya kerana daripada penyanyi kampung itulah saya masih dikenali sehigga sekarang.

“Dengan lagu-lagu yang meleleh-leleh dan tangkap lentok itulah peminat mula mengenali saya. Menerusi GV2 saya kumpul peminat-peminat baru pula dan bertambah ramai sekarang,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya Nana lagi, untuk mengekalkan momentum selepas bergelar juara GV2 bukan perkara mudah kerana perlu bekerja keras untuk memastikan dia terus relevan di dalam industri muzik tempatan.

“Setiap minggu dalam GV2 saya tertekan kerana peminat meletakkan harapan tinggi dan mereka mahu melihat saya bergelar juara.

“Bagaimanapun saya tidak pernah meletakkan diri saya di kedudukan yang selesa, malah berazam mahu memberikan persembahan terbaik setiap minggu,” ujarnya yang ditemui selepas tamat konsert akhir GV2 pada pagi Ahad lalu.

Dalam pada itu penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu Cinta Hanya Sandaran ini menambah, akan mengekalkan lagu-lagu bergenre balada sekiranya mempunyai album baru selepas ini.

“Saya tidak boleh terlalu urban kerana itu bukan diri saya. Mesti kena ada ‘Leman’ juga dalam lagu-lagu saya,” katanya yang digelar ‘Leman’ oleh juri GV2, Datuk Ramli MS.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin