Desas desus keretakan rumah tangga antara penyanyi Sam Bunkface bersama isteri akhirnya terjawab apabila mereka bercerai Januari lalu.

Perkara itu disahkan oleh isterinya yang juga penerbit rancangan, Aida Azira Hussin, 32.

Menurut laporan Harian Metro, Aida berkata, mereka bercerai pada penghujung Januari lalu dan ia dibuat atas keputusan bersama.

“Kami bercerai secara rasminya pada penghujung Januari lalu disebabkan sudah tidak sehaluan dan tidak ada persefahaman. Tiada kena-mengena dengan mana-mana pihak.

"Malah kedua belah keluarga juga reda serta merestui keputusan itu," katanya.

Kata Aida, dia mengambil keputusan untuk memberi kenyataan bagi mengelak kekeliruan orang ramai khususnya pihak yang masih beranggapan mereka masih suami isteri.

“Saya tampil untuk memberi pengesahan mengenai perkara ini disebabkan tidak mahu menimbulkan masalah di kemudian hari. Saya tidak mahu timbul kekeliruan bahawa kami masih bersama.

"Saya dan Sam bagaimanapun masih berkawan baik dan tiada masalah berkomunikasi demi anak kami," katanya.

BACA: Rumah Tangga Bergolak, Sam Bunkface Nafi Kehadiran Orang Ketiga ( http://www.gempak.com/artikel/20308/rumah-tangga-bergolak-sam-bunkface-nafi-kehadiran-orang-ketiga )

Terdahulu, Sam tampil memberi kenyataan dia masih tinggal bersama Aida walaupun rumah tangga mereka mengalami pergolakan.

Menurut Sam, masalah yang terjadi dalam keluarganya bukan disebabkan kehadiran orang ketiga.

Untuk pengetahuan, Aida dan Sam mendirikan rumah tangga pada 25 April 2015 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Maleeq yang kini berusia dua tahun.