Naib juara Akademi Fantasia (AF) 2015, Syamel mendominasi tiga kategori yang dipertandingkan menerusi Anugerah Meletop Era (AME) 2016.

Syamel telah tercalon dalam kategori iaitu Artis Baru Meletop, Lagu Meletop Era dan Penyanyi Meletop.

Syamel ketika ditemui berkata, dia bersyukur tercalon dan mengganggap ini adalah rezeki.

“Saya bersyukur kerana tercalon. Tiada rasa tertekan sebaliknya ia lebih kepada mencabar diri kerana harapan yang tinggi orang ramai terhadap saya.

“Ini sebagai petanda untuk saya bekerja dengan lebih kuat lagi dan saya akui rezeki melimpah sejak AF.

“Saya juga tidak terlalu mengejar populariti. Cepat atau lambat populariti itu datang, yang penting saya perlu terus berusaha kerana nyanyian kini adalah sumber rezeki saya,” katanya.

Syamel ditemui ketika majlis sidang media AME2016 di Life House TREC, Jalan Tun Razak baru-baru ini.

Seorang lagi teman seangkatan Syamel yang tercalon ialah pemenang tempat keempat AF2015, Bila menerusi kategori Artis Baru MeleTop.

Bagaimanapun juara AF2015, Sufi tidak tersenarai dalam mana-mana kategori.

Mengulas tentang perkara tersebut Ketua Format dan Program Realiti Astro Namanzee Harris berkata, tiada sikap diskriminasi sebaliknya pemilihan artis menerusi AME 2016 adalah berdasarkan populariti sesebuah lagu dan artis itu.

“Jika dilihat lagu Syamel iaitu Hidup Dalam Mati berjaya menambat hati pendengar dan lebih menyerlah berbanding lagu Sufi.

“Kami mengambil berat perkara berkenaan dan impak populariti setiap artis juga diambil kira ramai panel juri yang dilantik seperti Astro sendiri, Media Prima Berhad, media cetak dan online,” katanya.

Namanzee berkata, begitu juga dengan pencalonan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menerusi kategori Bintang Online Meletop yang dilihat relevan dengan pengikutnya yang ramai di laman sosial.

AME 2016 akan disiarkan secara langsung di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur pada 28 Februari depan.

Diacarakan Nabil Ahmad, penonton boleh menyaksikan secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan untuk AME kali ini antaranya Lagu Meletop Era, Penyanyi Meletop Era, Grup/Duo Meletop Era, Penyampai Radio Meletop, Program Radio Meletop, Bintang Filem Meletop, Drama Meletop, Program Meletop dan Pelakon Meletop.

Selain itu, kategori lain ialah Hos Meletop, Bintang Online Meletop, Artis Baru Meletop, Artis Lawak Meletop, Couple Meletop dan Fesyen Meletop.

Dua kategori hangat yang menjadi rebutan ialah Top Top Meletop Lelaki dan Top Top Meletop Wanita.

Undian fasa pertama telahpun dibuka dan undian boleh dilakukan di www.astrogempak.com.my/meletop/AnugerahMeletopEra