Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia, Shahrul Nasrun meminta supaya peminat berhenti memberikan tuduhan negatif terhadap bekas tunangnya penyanyi Adira.

Menurut Shahrul, Adira telah pun menemui pilihan hatinya dan lebih baik sekiranya peminat mendoakan kebahagiaan pasangan tersebut.

“Saya lihat begitu banyak komen serta tuduhan bukan-bukan yang diberikan terhadap dia (Adira). Saya rasa tak perlulah nak kecam, soal perkahwinan itu adalah hak peribadi masing-masing.

“Kita tidak berhak untuk menilai keputusan yang dibuat oleh Adira. Lebih elok sekiranya kita mendoakan yang baik-baik sahaja buat mereka berdua,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert 5 Divo di Bukit Damansara di sini, petang Selasa.

Tambah Shahrul lagi, sebagai seorang sahabat dia berharap Adira bahagia dan menjaga rumah tangganya dengan baik.

“Secara jujur saya dapat tahu mengenai berita perkahwinan ini daripada seorang sahabat namun dalam masa yang sama saya juga tidak terkejut kerana kami sudah tidak mempunyai sebarang ikatan.

“Tahniah buat Adira kerana telah memasuki satu fasa baru dalam kehidupan dan sebagai rakan saya mendoakan kebahagiaan mereka berdua.” ujarnya.

Terdahulu, Adira mengakui sudah pun berkahwin dengan seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Datuk Seri Adnan Abu selepas hanya tiga minggu berkenalan.

Spekulasi tersebut dikuatkan lagi apabila isteri pertama Adnan yang dikenali sebagai Datin Red memuat naik sekeping foto beserta kapsyen mengatakan dirinya kini berkongsi suami bersama Adira.

Sebelum ini, Adira pernah bertunang dengan Shahrul Nasrun pada 22 Disember 2014. Bagaimanapun ikatan pertunangan itu putus pada pertengahan April lalu.

Teks Oleh: Mya Amri